Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a. bahawa
Rasulullah s.a.w. setelah berhijrah ke Madinah melihat orang-orang
Yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Rasulullah s.a.w. bertanya kepada
mereka: “Hari apakah ini yang kamu berpuasa padanya?” Mereka menjawab:
“Ini adalah hari yang agung. Hari ini Allah menyelamatkan Musa dan
kaumnya. Hari ini juga Allah menenggelamkan Firaun dan kaumnya. Musa
berpuasa pada hari ini sebagai syukur kepada Allah. Lalu kami turut juga
berpuasa.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Kami lebih layak mengikuti Musa
dari kamu.” Lalu Rasulullah s.a.w. berpuasa pada hari itu dan menyuruh
orang Islam yang lain juga berpuasa.
Puasa Asyura’
Sebenarnya ada dua peristiwa besar yang diriwayatkan
dengan riwayat yang sahih berlaku pada 10 Muharram; kematian Firaun
setelah tenggelam di Laut Merah dan pembunuhan Husain bin Ali r.a. pada
Jumaat 10 Muharram 61 Hijrah di Karbala’. Kedua-dua peristiwa ini adalah
peristiwa penting. Tetapi sunat berpuasa pada 10 Muharram (hari Asyura)
hanya berkait dengan peristiwa kemusnahan Firaun sahaja dan tidak ada
sebarang kaitan dengan pembunuhan Husain r.a. di Karbala’. Syiah
memperingatinya setiap tahun dan melakukan amalan-amalan bid’ah sempena
tarikh tersebut. Tetapi ajaran sunnah yang sebenarnya adalah disunatkan
berpuasa sempena memperingati peristiwa Allah menyelamatkan Nabi Musa
a.s. dari buruan Firaun tanpa dikaitkan sedikit pun dengan peristiwa
pembunuha Husain r.a
.
Imam Ibnu al-Qayyim menyebut di dalam Zadul Ma’ad:
“Puasa Aasyura ada tiga darjat:
Berpuasa 9, 10 dan 11 Muharram. Ini yang paling sempurna.
Berpuasa 9 dan 10 Muharram. Ini yang paling banyak disebut di dalam hadis.
Berpuasa 10 Muharram sahaja.”
Disunatkan berpuasa 9 dan 11 Muharram agar ibadah
kita sebagai umat Islam berbeza dengan ibadah orang-orang Yahudi yang
berpuasa pada hari 10 Muharram sahaja. Rasulullah s.a.w. bersabda di
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muslim: “Jika aku masih lagi hidup pada tahun hadapan, aku akan berpuasa juga pada hari 9 Muharram.”
Puasa Asyura’ adalah di antara puasa-puasa yang
afdhal. Ada ulama’ yang berpendapat bahawa sebelum para sahabat r.a.
diwajibkan berpuasa penuh sebulan pada bulan Ramadhan, mereka telah
diwajibkan terlebih dahulu berpuasa pada 10 Muharram. Mereka juga
membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa pada hari Asyura’.
Bukhari meriwayatkan dari ar-Rabi’ binti Muawwidz
r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pergi ke perkampungan Ansar pada hari
Asyura’ dan bersabda: “Sesiapa yang telah makan pada hari ini,
jangan lagi makan sehingga habis siang hari ini. Sesiapa yang berpuasa,
teruskan berpuasa.” Ar-Rabi’ r.a. berkata: “Kami berpuasa pada
hari itu dan menyuruh anak-anak kami berpuasa. Kami mereka untuk mereka
permainan. Apabila ada yang menangis meminta makanan, kami akan lekakan
dia dengan permainan itu sehingga berbuka.”
Rasulullah s.a.w. bersabda di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tobroni: “Tidak ada hari yang afdhal berpuasa melebihi hari-hari di bulan Ramadhan dan hari Asyura’.”
Kemusnahan Firaun
Firaun musnah pada hari itu. Dia adalah insan yang
diabadikan kisahnya di dalam banyak ayat di dalam al-Quran dan
dijanjikan oleh Allah akan diselamatkan jasadnya. Allah berfirman:
“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang laut
Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan
kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam
berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada
Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari
orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”. (Allah berfirman):
“Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau
dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telah pun menjadi dari
orang-orang yang melakukan kerosakan?” Maka pada hari ini, Kami biarkan
engkau (hai Firaun) terselamat dengan badanmu (yang tidak bernyawa,
daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di
belakangmu (supaya mereka mengambil itibar) dan (ingatlah) sesungguhnya
kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda
kekuasaan Kami!” (Yunus: 90-92)
Firaun adalah gelaran kepada raja Mesir. Semua Firaun
mengaku diri mereka tuhan. Tetapi Ramses II tidak begitu. Dia mendakwa
dirinya ‘akulah tuhanmu yang paling agung’ (An-Naziaat: 24). Dia juga berkata kepada kaumnya ‘Wahai
kaumku! bukankah kerajaan negeri Mesir ini, aku yang menguasainya, dan
sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? tidakkah kamu
melihatnya?’ (Az-Zuhruf: 51).
Ketika Bani Israel buntu, tidak jumpa cara untuk
keluar dari penindasan Firaun, Allah menyelesaikan kebuntuan itu dengan
cara yang cukup menakjubkan. Firaun memelihara orang yang akan
mengalahkannya ( Musa a.s ) di dalam istananya sendiri. Ketika diburu dan
terperangkap di pantai Laut Merah, sekali lagi Allah menyelesaikan
kebuntuan itu dengan membelah Laut Merah. Selain dari itu banyak lagi
kisah-kisah menarik berkenaan pertembungan Nabi Musa a.s. dan Firaun.
Ini semua adalah kisah-kisah yang sepatutnya kita kenang kembali di hari
10 Muharram.
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan
pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak
menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka
orang-orang yang mewarisi (apa yang dimiliki oleh Firaun dan kaumnya).
Dan Kami hendak memberi mereka kedudukan yang kukuh di negeri itu, serta
hendak memperlihatkan kepada Firaun dan Haman bersama-sama tentera
mereka apa yang mereka bimbangkan dari golongan yang bertindas itu. Dan
Kami ilhamkan kepada ibu Musa:” Susukanlah dia; Dalam pada itu, jika
engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya (dari angkara Firaun), maka
(letakkanlah dia di dalam peti dan) lepaskanlah dia ke laut; dan
janganlah engkau merasa bimbang dan jangan pula berdukacita;
sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan Kami akan
melantiknya menjadi salah seorang dari Rasul-rasul kami. Setelah itu dia
dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya dia akan menjadi musuh
dan menyebabkan dukacita bagi mereka; Sesungguhnya Firaun dan Haman
serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.” (Al-Qosos: 5-8).
wallau'alam....
semoga cebisan kisah ini dapat memberi manfaat buat kita semua, bi iznillah..